Seriously, cerpen ni sweet sangat-sangat..
Nak tak nak korang kena baca juga.. ^_^
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Al-Quran itu dipegang dengan kemas. Mata menumpukan perhatian. Hati
seakan-akan sedang bersemayam di atas awan. Membaca dengan penuh
penghayatan.
Dia perlukan ketenangan yang lebih. Allah sedang mengujinya.
Surah Toha itu dialun suaranya, gemersik memenuhi ruang biliknya. Surah kesenangan di kala gundah, surah kekuatan di kala susah.
“Ehem.”
Dan pembacaannya terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh.
Farid Mursyidi sedang menyandarkan bahu pada bingkai pintu, dengan wajah dihiasi senyuman nakal.
“Nak apa?” Dia bertanya perlahan, sambil memusingkan seluruh tubuhnya,
tetapi masih kekal bersila. Dia tahu, pastinya Farid perasan wajah
monyoknya itu. Perlahan-lahan Farid mendekatinya.
“Masih bermasalah dalam membuat pilihan wahai sahabatku Syakir
Muntasir?” Bahunya ditepuk, dan Farid kini bersila di hadapanya. Lutut
bertemu lutut.
“Aku masyghul la. Keputusan yang sukar.” Syakir menggaru kepala.
“Istikharahnya macam mana?”
“Apa, kau ingat semua istikharah keluar mimpi bagi jawapan? Kalau macam
itu baik aku istikharah setiap malam periksa.” Syakir menjelirkan lidah.
Farid seakan-akan tidak tahu bagaimana sistem istikharah yang
sebenarnya berfungsi.
Farid tertawa senang. Bahu Syakir ditepuk beberapa kali. Mungkin memahami, sambil terkesan dengan canda tadi.
Istikharah bukanlah satu keajaiban untuk menggolekkan jawapan kepada
kita. Istikharah hakikatnya perlu diiringi usaha membuat kalkulasi yang
baik. Tanda istikharah bukan semestinya mimpi, tetapi hakikatnya adalah
ketenangan hati yang kuat apabila membuat keputsan.
“Aku nampak jalan ke sebelah B lebih benar dan aku macam lebih tenang ke
sana.” Syakir melepaskan keluhan. Nampak bahawa Jalan B bukan jalan
pilihan asalnya.
“Kau rasa, kalau kau pilih jalan B, jalan A akan hilang?”
Dan kini matanya dan mata Farid bertaut. Sengih kelat muncul pada wajah
Syakir. “Lebih kurang. Kau tahu aku cintakan Humaira’ bukan? Aku hanya
perlu tunggu dua tahun sahaja lagi.”
“Tapi pada masa yang sama, kau perlu berkahwin sekarang. Kau adalah
orang yang siap, sudah bersedia, dan kau memang perlu kahwin. Kalau tak,
resah gelisah tak berhenti. Fokus terganggu. Namun, memilih Anum
Sakeena ada downsidenya.”
“Ada ‘banyak’ downsidenya.” Syakir menambah.
Farid pula yang menghela nafas kali ini. Ya, keputusan yang sukar.
“Kadang-kadang Syakir, walaupun kita ini manusia yang ikuti jalan dakwah
dan tarbiyah, kita masih terikat dengan gari-gari dunia bukan?” Farid
menolak tubuh, bersandar pada dinding. Melunjur kaki, sambil memandang
siling.
Jiwa Syakir seakan tercucuk dengan kalam itu. Dia melihat sahaja sahabatnya itu.
“Maksud?”
“Yalah. Kalau aku, aku akan biarkan sahaja Anum. Aku akan sanggup tunggu
Humaira’. Aku sanggup menderita dua tahun, dari ambil risiko duduk
dengan Anum. Tambahan, dalam posisi kau, aku cintakan Humaira’.
Tinggal…” Kata-kata Farid terhenti. Dia melirik kepada Syakir.
Mata Syakir dan Farid bertemu. Syakir hanya diam. Ingin Farid menyempurnakan bicara.
“Tinggal kita tahu, Anum memerlukan bantuan kita, pertama. Kedua, dalam
posisi kau, kita memerlukan kehadiran Anum yang sanggup berkahwin dengan
kita sekarang. Ketiga, hajat Anum bukan hajat yang kecil, dan belum ada
yang sanggup membantunya, sedang kita telah terlanjur memikirkannya,
tambah pula dalam posisi yang siap untuknya.”
“Kita? Kau ajalah yang pergi ambil Anum.”
Farid tertawa. “Kita di sini bermaksud kau lah. Aku mana mampu kahwin
lagi. Kau dah mampu, tinggal kena tunggu sebab nak kejar cinta sahaja.
Itulah yang aku kata, kita ini walaupun ikut jalan dakwah dan tarbiyah,
kita masih terikat dengan gari-gari dunia. Kita amat tahu relevannya
hajat Anum, tetapi kita rasa sukar nak penuhi hajat dia, sebab hajat dia
tak ada harganya di atas dunia. Hanya berharga di akhirat sana. Aku
sebut kita, sebab kalau aku jadi engkau, aku sendiri jadi berat.”
Suasana bilik itu senyap sebentar. Seakan menunggu giliran, azan isya’
dari Masjid University of Yarmouk kedengaran. Azan mendayu-dayu, seakan
waktu rehat dari perbincangan yang mengkusutkan itu.
Dunia dan akhirat. Orang-orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah
pun, adakalanya masih tergari dengan dunia. Sedangkan, secara sedarnya,
dia tahu apa pilihan yang patut dia lakukan.
Azan tamat. Doa. Mata Farid dan Syakir kembali bertemu. Masih senyap.
Perlahan-lahan Farid berdiri, dan mendekati Syakir. Bahunya disentuh lembut.
“Mungkin ada waktu itu, kita kena belajar untuk campak segala-galanya,
dan hanya percaya kepadaNya. Kena berani buat leap of faith.”
Kemudian Farid bergerak keluar dari bilik. Pastinya hendak menuju ke masjid.
Syakir keseorangan.
Campak segala-galanya, dan hanya percaya kepadaNya.
*******
Anum Sakeena. Seorang yang pada zahirnya kelihatan seperti bidadari. Dia
lawa. Dia cerdas. Dia juga aktif dalam urusan dakwah dan tarbiyah.
Lebih mencantikkan peribadinya, dia tiada kasta. Dengan rakan-rakan yang
tidak berapa faham Islam pun, dia masih bergaul, mendekati, dan
memesrai. Sebab itu pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Jordan
amat mengasihinya. Pembetulan, semua pelajar di Jordan ini mengasihinya.
Namun Allah SWT menguji. Anum Sakeena dipercayai mempunyai Systemic
Lupus Erythematosus atau SLE. Satu penyakit yang akan meragut nyawanya
untuk satu jangka masa yang tidak lama lagi. Tetapi tiada siapa yang
melihat Anum Sakeena bersedih hati atau kegelisahan. Dia seakan-akan
manusia paling tabah yang berjalan di atas dunia ini. Dia tidak pula
pulang ke Malaysia dan berhenti belajar seakan-akan dunia telah kiamat.
Dia masih meneruskan kehidupan, studi dengan rajin, dan hidup dengan
gembira.
Tetapi, ada satu perkara yang menggusarkan Anum Sakeena. Dan perkara itu
tidak diceritakan kepada sesiapa, kecuali seorang manusia yang
diyakininya dalam keadaan mampu, dan mungkin akan membantunya.
Itulah dia Syakir Muntasir. Pelajar Tahun 3 Fiqh Wa Usuluhu di
University of Yarmouk. Satu angkatan dengan Anum Sakeena, tinggal Anum
Sakeena mengambil pengkhususan Iqtisod Islami.
Syakir Muntasir sangat terkenal dengan manusia yang lebih tua dari
usianya. Walaupun di luar Syakir kelihatan seperti manusia yang tidak
peduli apa-apa, tetapi apabila keadaan memerlukan seorang Syakir
Muntasir untuk serius, tiada sesiapa yang mampu menghentikannya.
Fikirannya matang, fikrahnya jelas, disiplinnya tinggi, pandangannya
jauh, dan dia seorang yang siap untuk memikul tanggungjawab yang besar,
juga mampu menghadapi banyak dugaan kehidupan.
Dan Anum Sakeena amat pasti, Syakir Muntasir sedang mempersiapkan diri
ke gerbang perkahwinan, memandangkan ura-ura bahawa lamaran lelaki itu
ditolak, atau lebih tepat lagi, ditangguhkan untuk diterima, telah
tersebar dalam komuniti di sini. Perempuan itu nampaknya tidak bersedia
untuk memikul tanggungjawab pada ketika ini. Dua tahun dimintanya
tangguh. Berita sebegini tidak sukar didapati, kerana Syakir Muntasir
sangat terkenal di sini. Sama ada dia mendiamkan segala cerita di dalam
tubuhnya seorang, atau cerita itu akan bergerak meliputi seluruh Jordan
dalam masa yang sekejap sahaja. Dan Syakir Muntasir juga manusia, pasti
paling kurang dia akan berkongsi masalah hidupnya dengan teman-teman
karib.
Mendengar berita itu, Anum Sakeena terasa seakan-akan Allah membukakan
jalan untuknya. Walaupun dia tidak tahu, apakah perancangan Allah SWT
yang sebenarnya, namun nyatanya dia telah membuat kalkulasi dan
merasakan inilah yang terbaik. Maka dengan berani, setelah mendapat izin
ibu ayahnya, dia mewakilkan seorang senior tahun 6 Perubatan untuk
menyampaikan hajatnya kepada Syakir Muntasir.
“Anum Sakeena ingin dirinya dikahwini Syakir Muntasir, kerana adalah
satu hajatnya yang besar sebelum meninggalkan dunia ini dia meninggalkan
satu saham akhirat yang besar untuk dirinya, dan meninggalkan satu
hadiah yang besar untuk Islam di atas dunia. Itulah dia seorang anak.
Anum Sakeena ingin ada cebisan dirinya, yang tinggal di atas dunia ini
untuk terus memberikannya pahala, dan berjuang untuk Islam buat
dirinya.”
Dan saban hari, Anum Sakeena berdoa agar Allah SWT memakbulkan hajatnya, atau memberikannya sesuatu yang lebhi baik.
Itulah hajatnya.
Dan bukan sebarang orang akan menyahutnya.
******
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Syakir bangun dari pembaringannya malam itu. Saat dia yakin dan tenang
dengan keputusannya. Saat dia membuat keputusan, untuk membuat satu
anjakan paradigma, lompatan saujana yang akan mengubah lorong hidupnya.
Dia mencapai telefon bimbitnya. Ibu Humaira’ dihubungi.
“Ibu, Syakir rasa, Syakir nak buat keputusan ini.”
Dan hanya esak tangis sahaja kedengaran. Syakir tabah. Tidak tergugah.
Ummi Abahnya dihubungi. “Syakir nekad.”
Dan Ummi Abahnya tidak berkata apa-apa lagi. Menyokong, dan mendoakan.
Dia menggenggam erat tangannya. Keputusan yang berat. Tetapi hendak diluahkannya.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia!
Mendail nombor terakhir. Kak Rasyidah, pelajar perubatan tahun 6 yang menghubunginya tempoh hari mewakili seorang Anum Sakeena.
“Akak, saya setuju. Sampaikan kepada Anum.”
Dan selepas itu dia terduduk.
“Aku telah membuat lompatan itu Ya Allah. Dan sekarang, aku serahkan
diriku sepenuhnya kepada Engkau. Sungguh, aku hanya hambaMu yang tidak
mengetahui apa-apa. Membuat keputusan ini, sekadar ingin menghormati
seorang mujahidah yang benar-benar mencintaiMu Ya Rabb. Nyatanya, aku
sebelum ini tidak mencintaiMu sehebat Cintanya, yang walau matipun masih
ingin terus berjuang untukMu.”
Bukan senang melepaskan apa yang selama ini dikejar. Bukan senang
memilih sesuatu yang diketahui tidak lama lagi akan hancur. Bukan senang
hendak mengenepikan pilihan sendiri, perasaan hati, untuk memilih
sesuatu yang benar dan hakiki, kerna biasanya walaupun pilihan diri itu
salah, itulah yang disenangi. Dan hari ini dia melakukan, apa yang ramai
manusia tidak mampu.
Lepaskan segala-galanya. Hanya percayakan Dia.
Air mata mengalir deras di pipi Syakir Muntasir malam itu.
******
“Sebenarnya, berapa lama lagi masa untuk awak hidup?” Soalan itu muncul dikala langit sedang indah ditemani bulan mengambang.
Anum menatapnya, dan tersenyum. “Tidak tahu. Tetapi doktor kata, boleh
jadi panjang sekiranya tidak melahirkan anak. Awak pun dah dengar
nasihat doktor masa awal-awal teman saya buat pemeriksaan semula dulu,
bukan?” Dulu. Macam telah lama. Sedangkan, mereka baru setahun
berkahwin.
“Jadi, kenapa hendak melahirkan anak?”
Senyuman Anum melebar. Dan senyuman itu sangat-sangat indah. Bulan
mengambng jua bukan tandingan. Nyata ini syurga yang berada di atas
dunia. Dan Syakir merasainya.
“Awak sudah tahukan?”
Dan giliran untuk senyumannya pula memekar.
“Tidak takut?”
Anum menggeleng. “Sebab akhirnya, kita akan mati juga. Lebih baik mati
meninggalkan sesuatu untuk akhirat kita, daripada mati tidak memberikan
apa-apa.”
Tangan Anum dipegang erat. Dikucup. “Saya minta maaf.” Lembut Syakir bersuara.
Anum mengiring. Kerusi malas yang menjadi tilam pembaringan mereka kini
berbunyi. Antara aktiviti kegemaran, berbaring di atas kerusi malas
bersama-sama, sambil menatap bulan mengambang indah. “Kenapa nak minta
maaf?”
“Sebab awal-awal dahulu, saya tidak mencintai awak. Saya sebenarnya
ragu-ragu. Tetapi hari ini, saya rasa saya tidak sepatutnya ragu-ragu.
Saya sepatutnya terus menyahut.” Syakir turut mengiring. Wajah mereka
berhadapan.
Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Ummi Abah datang ke Jordan
bersama keluarga Anum, dan mereka berkahwin di Jordan. Saudara mara yang
tahu, tidak ramai memberikan sokongan. Sebab semua melihat seakan-akan
dia melemparkan diri ke dalam satu kecelakaan. Dia dihujani pelbagai
tohmahan dari keluarganya sendiri yang tidak memahami. Abah dan Ummi pun
tidak banyak membincangkan hal ini, kerana pada asalnya, Abah dan Ummi
juga tidak berapa setuju. Tinggal keyakinannya sahaja yang akhirnya
membuatkan tindakan itu mendapat restu.
Bukan satu keputusan yang mudah.
Hanya yang berani melepaskan segala-gala, dan percaya hanya padaNya sahaja yang mampu.
Tetapi hari ini, kepercayaan Syakir itu terasa seperti telah dibalas.
“Em, awak memang patut ragu-ragu. Bukan satu keputusan yang ringan. Dan
saya yang patut minta maaf. Sebab saya macam dah hancurkan hidup awak.
Awak tak berada di atas ‘track’ yang awak nak.” Anum mendekatkan
wajahnya, hingga dahinya dan dahi Syakir bertemu.
Syakir menggeleng perlahan. Dahi mereka bergesel. “Ini memang bukan
‘track’ yang saya nak. Tetapi saya rasa, ini ‘track’ yang Allah nak,
berdasarkan apa yang saya dapat bila bersama awak selama ini.”
Bayangkan, melihat bakal mayat yang langsung tidak seperti manusia yang
berpenyakit maut. Hidupnya tetap ceria. Hidupnya tetap bersemangat dan
gembira. Studinya terjaga, bahkan dijaga pula studi Syakir. Anum banyak
memunculkan momen-momen indah. Program-program yang mengingatkan mereka
berdua kembali kepada Allah SWT juga hangat dirancang oleh Anum. Rumah
mereka seakan-akan bercahaya.
Baca Al-Quran sama-sama, malam Jumaat qiamullail bersama, Isnin Khamis
puasa bersama, studi bersama-sama, keluar beriadhah di kala petang
bersama-sama, pergi berziarah rakan-rakan bersama-sama, melaksanakan
program dakwah dan tarbiyah bersama-sama. Dan banyak perkara lagi. Dalam
semua itu, dia belajar daripada Anum.
Bagaimana walaupun tahu umur tidak panjang, kekuatan tetap mengisi
kehidupan dan diri terus-terusan bergerak dengan cergas hidup sebagai
hamba Tuhan. Tidak merungut menyumpah Allah SWT yang memberikannya
penyakit itu. Tidak pula mengeluh. Tetapi apa yang dilakukan adalah,
mencari segenap ruang dan peluang, mengisi hari-hari yang berbaki untuk
menjadi bermakna. Bermakna kepadanya, dan kepadaNya.
Syakir Muntasir bersyukur. Dia tidak tahu bagaimana kalau dia terus
menunggu Humaira’. Dua tahun bukan jangka masa yang pendek. Pasti
pelbagai halangan, cabaran dan dugaan muncul. Namun memilih Anum, dua
tahun itu tidak dilaluinya. Dia melalui saat-saat indah pada setiap
masa.
Dia yang awal-awalnya serba salah, kini rasa tenang. Anum Sakeena,
seindah namanya. Anum: Rahmat daripada Tuhan. Sakeena: Ketenangan.
Syakir berharap, ketenangan dan kebahagiaannya kekal.
Kekal…
Tiba-tiba terasa tangannya dipegang erat. Dia kembali ke alam realiti, dengan Anum di hadapannya.
“Awak, saya ada satu berita gembira sebenarnya malam ini.”
“Apa dia?” Bibirnya terhias dengan senyuman.
“Saya mengandung. Tiga minggu.”
Matanya membesar.
Kekal…
Itu mustahil bukan?
*******
Harinya tiba. Dan dia hampir sahaja tidak percaya semuanya berlaku dengan pantas.
Kini dia hanya berdiri, dan di hadapannya adalah sekujur mayat yang
telah kaku. Minit-minit terakhir amat memeritkan hatinya. Kini air
matanya menitik-nitik pada bayi lelaki yang sedang berada dalam
gendongannya.
Semalam, Anum Sakeena selamat melahirkan anak. Namun akibatnya, kondiri
kesihatannya merudum di tahap kritikal. Kerosakan pada organ dalamannya
merebak dengan pantas akibat melahirkan anak. Satu perkara yang telah
lama dipesan oleh doktor.
Beberapa bulan yang lepas, Doktor menasihatkan agar digugurkan kandungan
untuk memanjangkan lagi nyawa Anum. Tetapi isterinya berkeras.
“Saya tetap akan mati juga!”
Dia sendiri, di dalam hati, inginkan Anum Sakeena hidup lebih lama. Dia
bahagia dengan Anum. Dia rasa tenang dengan Anum. Tetapi melihat
nekadnya isterinya, dan mengapa mereka berkahwin pada asalnya,
membuatkan dia tidak pernah menyebut hajatnya itu. Dia menghormati
cita-cita isterinya. Anum Sakeena terus mengandung hingga pada hari
melahirkan anak mereka.
Sempat pula menduduki peperiksaan final pada tahun akhirnya, dalam
keadaan sarat mengandung. Hari-hari sepanjang mengandung, dia tetap
ceria, walaupun kandungan itu seakan bom jangka yang menandakan hari
kematiannya.
“Awak tahu apa yang saya seronok?”
“Apa dia sayang?”
“At least, saya tahu bila saya mati. Boleh persiapkan diri habis-habisan.”
Anum menjawab dengan senyuman seakan-akan itu bukan satu musibah.
Ketika itu, Syakir Muntasir terpaksa meminta izin untuk ke tandas, dan
menangis teresak-esak di dalam tandas keseorangan. Tersentuh.
“Kenapa awak tak pernah takut? Orang ramai takut mati.”
“Ah ah, takut buat apa? Pelik, kenapa mesti takut untuk balik kepada Yang Maha Mencintai kita?”
Tersentuh. Entah, hari-hari anak itu berada di dalam rahim Anum, terasa
seperti saat kemuncak kehidupan seorang Syakir Muntasir. Matanya lebih
terbuka. Dia lebih banyak belajar. Hatinya jadi lebih senang tersentuh.
Dan pertama kali dia merasakan bahawa, dia tidak mampu untuk berbuat
apa-apa. Langsung tidak punya tenaga, seakan itulah pertama kali dia
menyedari kekerdilan dirinya terhadap Rabbnya.
“Nama dia, Mujahid Muntasir. Pejuang yang mendapat bantuan. Sebagaimana
Syakir Muntasir, orang yang bersyukur yang mendapat bantuan.” Dia
bersuara menamakan anaknya itu semalam, di hadapan Anum yang teramat
lemah.
“Awak dapat bantuan apa?” Anum Sakeena yang pucat lesi ketika itu
bertanya sambil tersenyum, walaupun senyumannya ketika itu kelihatan
tawar kerana kepenatan dan menanggung kesakitan teramat.
“Allah beri bantuan, untuk saya pertingkatkan kehidupan dan pemikiran
saya, dengan awak, sayang.” Jawapannya. Seikhlas hati. Tetapi itu tidak
menyelamatkan nyawanya.
“Terima kasih sebab terima saya. Terima kasih, kerana merealitikan
impian saya. Sekarang saya rasa sudah tiba masanya.” Anum dengan air
mata meleleh, pagi tadi. Meragut segala ketenangan yang wujud di dalam
jiwa Syakir.
Doktor memanggilnya masuk pagi tadi, dengan menggendong anak mereka, dia
duduk di sisi perempuan yang dicintainya. Nyata, doktor memberikannya
peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.
Dia tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya lebih deras dari air mata Anum.
“Anak Ummi, jadi saham akhirat Ummi ya. Mujahid, jadi Mujahid ya.
Membesar jadi anak yang soleh, da’ie yang baik, tewaskan jahiliyyah, dan
bawa seramai mungkin manusia ke syurga Allah ya?” Tangan Anum yang
terketar-ketar ketika itu, berusaha mengusap lembut bayi mereka.
“Saya cintakan awak Anum Sakeena.”
Anum ketika itu menggeleng. “Awak cintakan Allah, sebab itu awak
cintakan saya. Lepas ini, kerana cintakan Allah itu, awak akan berkahwin
dan mencintai pula perempuan yang lain. Sebagaimana kerana awak
cintakan Allah, awak menerima dan mencintai saya. Awak, jaga diri ya?”
Akhirnya dengan lafaz syahadatain dan wajah penuh ketenangan seperti
seorang pemenang, Anum menghela nafas terakhir sebentar tadi. Dan Syakir
Muntasir kini sekadar berdiri di sisinya, bersama Mujahid Muntasir yang
masih tidak mengetahui apa-apa.
Cinta inilah yang tertinggi.
Cinta kepada Allah, hingga merancang untuk beramal selepas kematian.
Cinta kepada Islam, sehingga merancang untuk terus menyumbang selepas kematian.
Cinta kepada orang sekeliling, hingga mendidik agar semuanya mampu terus bergerak selepas kematian.
Cinta yang sebenar, hingga mampu memutuskan segala gari dunia, yang
mengikat pada tubuh hamba. Benar-benar seakan berdiri di atas jalan yang
cerah, dan tidak berselirat dengan perangkap ke neraka.
Pada umurnya baru 23 tahun, Syakir Muntasir seakan-akan telah mendapat
sesuatu yang besar. Dirinya seakan-akan seorang yang baru.
Teringat dia pada saat dia membuat keputusan ini. Keputusan yang
mengorbankan rasa hati, untuk memenuhi rasa Ilahi. Dia melihat apa yang
dia perolehi hari ini.
“Ya Allah, aku rasa bersyukur membuat lompatan itu dan mempercayaimu.”
Air mata Syakir Muntasir tidak berhenti.
Dan akhirnya Mujahid Muntasir terjaga, dan menangis.
******
30 tahun. 7 tahun telah berlalu.
“Tua dah kita ni ya?” Suara Farid menariknya kembali.
Syakir mengangkat sebelah kening.
“Belum cukup tua untuk berhenti bekerja sebagai hambaNya.”
“Tua yang itu, hanya di kala mati sahaja.” Farid tertawa.
“Dan ada orang, merancang bagaimana di kala ‘tua’nya, masih mampu menyumbang.” Syakir menghela nafas.
Dia dapat melihat Farid mengangguk perlahan. “Aku banyak belajar
daripada dia. Nyata, dua tahun bersamanya adalah untuk menjadikan aku,
aku yang hari ini.”
“Kita sama-sama belajar daripada dia. Semoga Allah rahmati dia di akhirat sana.” Farid bersuara, sambil terus memandang horizon.
Bunyi ombak menghempas pantai mengisi ruang senyap antara mereka.
“Abah, abah!” Satu suara memanggil.
Dia dan Farid sama-sama menoleh. Seorang anak lelaki berumur 5 tahun,
comel, berlari-lari mendapatkan Syakir. Terus merebahkan diri dalam
pelukan Syakir.
“Anak saudara pakcik nak apa dengan Abah dia ni?” Farid menggeletek. Anak itu tertawa.
“Mukmin cari Abang Mujahid sebenarnya. Kenapa tak nampak dia?” Dia bersuara comel.
“Ah, Abang Mujahid ada di sana.” Syakir menunjuk ke arah batu karang besar yang terdapat pada hujung tunjukannya.
Kelihatan seorang anak lelaki, berumur 7 tahun, bersila dengan tenang
sambil menghadap laut, dengan Al-Quran di tangannya. Mujahid Muntasir,
itulah namanya.
“Mukmin perlahan-lahan ya pergi pada Abang Mujahid.” Syakir mengucup ubun-ubun Mukmin. Mukmin Muntasir nama penuhnya.
“Em.” Mukmin terus berlari-lari anak ke arah Mujahid.
Farid dan Syakir sama-sama memandang ke arah anak itu berlari.
“Mujahid sedang ulang hafalankah?”
“Mungkin. Bayangkan, pada umur 3 tahun sudah fasih membaca Al-Quran,
saat anak-anak lain pelat untuk berbahasa melayu. Umur 5 tahun sudah
menghafal 5 juzu’ Al-Quran, dan sekarang dia sudah hampir menghafal 30
juzu’.”
“Aku tahu. Dia juga nampak amat matang. 7 tahun, tapi macam remaja belasan tahun.”
“Genetik ibu dia agaknya.” Syakir tersengih. Teringat Anum Sakeena.
“Naa, tarbiyah sebenarnya. Kau pun cerita, macam mana Anum masa
mengandung. Penuh penjagaan, penuh pengisian. Makanan dijaga, ibadah
dipertingkat. Itu semua memberikan kesan.” Farid sekadar tersenyum.
“InsyaAllah, Mujahid ini pasti akan membesar menjadi seorang yang hebat nanti.”
“Macam Abah dia.” Farid menyiku Syakir. Syakir sekadar tertawa. Siapa
tidak kenal Dr Syakir Muntasir hari ini di Malaysia? Antara orang
terkenal yang memberikan motivasi kehidupan kepada masyarakat melalui
pelbagai medium. Radio, televisyen, internet. Juga mempunyai Syarikat
Consultancy Sakeena, yang giat memberikan motivasi kepada
pelajar-pelajar sekolah dan universiti, juga keluarga-keluarga.
“Abang-abang sekalian, makanannya dah siap!” Satu suara lembut melaung.
Syakir dan Farid sama-sama menoleh ke arah suara itu.
Kelihatan Amalina, isteri Farid melambai. Di sisinya terdapat seorang
anak lelaki. Anak itu bernama Hasyim Mursyidi. Berumur 4 tahun. Anak itu
berdiri antara ibunya, Amalina, dan seorang lagi perempuan.
“Bidadari dah panggil, jom!” Bahu Syakir ditepuk. Mereka bingkas bangun.
Syakir dan Farid berjalan mendapatkan tiga manusia itu. Farid terus
berpimpinan tangan dengan Amalina dan Hasyim. Manakala Syakir terus
memaut pinggang perempuan yang lagi satu, sambil tersenyum senang.
“Mana Mujahid dengan Mukmin?”
“Itu. Kita kena pergi ambil mereka dulu. Jom?” Syakir menunjuk.
“Jom.”
“Gelaran Aisyah RH adalah Humaira’. Dan dia pernah lumba lari dengan Rasulullah SAW. Dare to race with me o Humaira’ Arisha?”
Terus Humaira’ Arisha berlari.
“Game on Syakir Muntasir!” Humaira’ melambai tangan.
“Tak aci!” Syakir menjelir lidah, dan terus berlari mendapatkan Humaira’.
Nyata, selepas apa yang berlaku kepada Anum Sakeena, Humaira’
menunggunya. Bahkan tersentuh dengan Anum Sakeena, Humaira’ berhajat
mencontohi perempuan itu. Yang telah berjaya melepasi sempadan cinta
biasa.
Menjadikan cintanya cinta yang tertinggi dari segala manusia.
Syakir Muntasir tersenyum sendiri.
“Aku bersyukur dengan lompatan yang mengubah hidupku itu Ya Rabb.”
Lepaskan segala-gala, percayakan Dia!